Perkara-Perkara Bertentangan Islam Dalam Majlis Kenduri Kahwin |
Dari semasa ke semasa saya juga diminta terlibat apabila saudara mara
mengadakan majlis kenduri kahwin. Kini saya merasakan begitu ngeri
sekali apabila melihat betapa umat Islam hari ini telah lari jauh dari
ajaran Islam dalam menjalankan majlis kenduri kahwin.
Kali ini saya ingin membincangkan perihal majlis perkahwinan ini di kalangan umat Islam di Malaysia.
Perkara 1:Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?
Setelah
merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak
termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang
ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja.
Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, duit, besi atau sekadar bacaan
dari Al Quran.
Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh
suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud :
” Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka “. ( Surah An-Nisaa’ – Ayat 4 )
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi .” ( Riwayat Bukhari )
Dari
hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa
sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang,
barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah
s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu
pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada
lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur’an,
lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian
Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan
surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.
Maskahwin
itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk
menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di
atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin
tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu
tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
” Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah “. ( Riwayat Abu Daud )
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
” Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Riwayat Ahmad )
Mas
kahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulamak tidak
boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin
ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin.
Hantaran
belanja yang kini mencecah belasan ribu RM adalah tambahan adat Melayu
yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah
untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.
Perkara 2:Adakah bersanding dan berinai merupakan ajaran Islam?
Setelah
dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat
ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran
dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar yang berasal dari ajaran
Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini.
Apa yang saya lihat
dari majlis bersanding dan berinai ini lebih kepada pembaziran dan
sesungguhnya didalam Al Quran dikatakan orang yang membazir Tuhan
mengatakan mereka itu adalah kawan-kawan syaitan.
Disini kita
faham, membazir itu sangat dibenci Tuhan, sehingga Tuhan kata “Siapa
yang membazir itu adalah kawan syaitan”. Mari kita belajar apa itu
membazir? Erti membazir itu ialah menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana
Tuhan. Menggunakan nikmat dari Tuhan iaitu wang ringgit untuk
disedekahkan kepada anak yatim bukan membazir kerana ia dilakukan kerana
Allah.
Menyewa dan memasang peralatan pelamin lengkap dengan
pelbagai lampunya bukan dapat RM400. Sudah pastinya ini adalah satu
pembaziran.
Perkara 3:Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?
Pada
zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan sirih
junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak tuan
rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang zaman
dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang, beli sireh,
upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan
dan akhirnya ke tong sampah! Adalah jauh lebih baik bawa pizza barang 5
keping yang bersaiz besar untuk sama-sama makan iaitu ahli rombongan
pengantin lelaki dan pihak tuan rumah. Kalau tak nak makan, tak payahlah
bawa pizza.
Sirih junjung sah barang membazir dan menyusahkan sahaja.
Perkara 4:Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan bermake up di majlis persandingan ini?
Antara jawapannya mungkin ialah:
1. Supaya aku kelihatan cantik menarik
2. Supaya orang ramai memuji aku bahawa sesungguhnya aku memanglah cantik
3. Agar aku dapat menarik perhatian orang ramai dengan kecantikan aku
4. Mungkin untuk menutup kecacatan di muka saya seperti jerawat dan jeragat
5. Engkau ingat aku ni tak cantik ke?
6. Supaya orang tertawan dengan aku melalui kecantikan wajah aku ni.
Apa
yang jelas dari bermake up adalah satu dosa sebagaimana artikel
Tabarruj di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/54 dan melakukan
sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah
perbuatan mungkar yang membawa dosa dan musibah dari Allah. Takutilah
azab Allah dan sesungguhnya azab Allah itu perit.
Membuat sesuatu perkara semata-mata untuk mendapat dosa dan azab adalah sesuatu kezaliman dan ke****han.
Tambahan
pada 23 Ogos: Saya ada satu tambahan cerita sebagai iktibar. Ayu
seorang anak yang baik dan kelihatan baik. Ayu menjaga auratnya serta
bercampur dengan kaum lelaki secara sopan. Ayu belajar di sekolah aliran
agama hingga tingkatan 5. Sambung pelajaran di luar negara dan berjaya
mendapat pekerjaan yang baik. Ayu cukup menjaga sentuhan yang tidak
perlu sehingga mengelakkan dari bersalam dengan pakcik sebelah suami
adek beradek ibu ayahnya. Namun apa yang sangat saya kesalkan ialah demi
untuk kelihatan cantik anggun bergaya dengan berbagai solekan make up
terkini, sewaktu berinai dan bersanding, seorang jurusolek khas dari
kaum lelaki mengandamkan Ayu. Juru andam lelaki inilah yang menghiaskan
Ayu. Waktu ini agaknya bersentuhan dengan kaum lelaki sudah berubah
hukum dari haram kepada sunat agaknya!! Begitulah seperti diajarkan oleh
arwah guru, satu dosa akan menggamit dosa-dosa yang lain.
Perkara 5:Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?
Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:
Mengadakan
majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran
dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu
perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para
tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan
kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran
kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan
tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali
yang miskin.
Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang
fakir miskin sebagaimana mafhum hadis berikut. Hal ini dijelaskan
Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud:
“Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang
hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk
makan bersama.”
Namun kini manusia melakukan majlis kenduri kahwin ini dengan pelbagai tujuan antaranya:
1. Memberitahu masyarakat bahawa aku mampu membuat majlis kenduri dengan penuh kemewahan dengan belanja melebihi RM20,000.00
2. Aku ini orang berduit. Lihatlah majlis kenduri kahwin ini.
3.
Orang yang lebih miskin dari aku pun berani belanja lebih RM20,000.00
untuk majlis kenduri kahwin. Tak kan aku dengan gaji lebih besar dari
dia tak sanggup belanja lebih RM20,000.00 untuk kenduri kahwin!!!
4. Majlis mewah seperti ini barulah sesuai dengan status saya sebagai orang berduit di kawasan perumahan ini.
5. Anak aku bukan janda atau minah kilang, kenalah buat majlis yang grand habis.
6. Biarlah orang asyik bercerita tentang kehebatan majlis kenduri saya ini. Barulah seronok.
7.
Kalau aku keluar belanja RM20,000.00 tetapi dapat sumbangan RM25,000.00
bolehlah dapat keuntungan dari majlis kenduri kahwin ini.
Perkara 6Mengapa hantaran belanja perlu dibayar dengan bayaran yang tinggi?
Bayaran
hantaran belanja yang tinggi tidak pernah disarankan oleh Islam.
Sebagaimana telah saya jelaskan dalam perkara 1 di atas, Islam
menggalakkan mahar yang rendah semoga memudahkan proses perkahwinan.
Antara tujuan mengenakan bayaran hantaran belanja yang tinggi mungkin ialah:
1.
Menilai status keluarga dan pekerjaan anak dara yang ingin dikahwini.
Lagi tinggi status keluarga, lagi mahal hantaran belanja. Kalau anak
dara yang ingin dikahwini ini sekadar minah kilang, murahlah sikit
hantaran belanja. Kalau ada degree apatah lagi kalau berjawatan tinggi
seperti doktor atau jurutera atau pensyarah, kenalah letak hantaran
belanja yang tinggi. Kalau artis kenalah lagi tinggi.
2. Boleh bermegah dengan masyarakat sekeliling. Maklumlah kalau hantaran belanja sekadar RM5000.00, macam mana nak bermegah.
3. Lagi tinggi hantaran belanja, lagi mewah majlis kenduri boleh diadakan. Baru ada kelas!!
4. Boleh beli set bilik tidur yang ada kelas. Nanti kalau orang masuk bilik pengantin, taklah malu atau koman sangat.
5.
Aku sudah membelanjakan sekian banyak duit untuk membesarkan dan
mendidik anak perempuan aku. Siapa nak kahwin dengannya kenalah sanggup
keluar duit yang tinggi. Nak beli lembu seekor pun sudah lebih dari
RM2000 ini kan pula anak aku!
Sebenarnya dengan meletakkan
hantaran belanja yang tinggi, inilah dia tujuan sebenarnya yang tidak
disedari atau dengan disedari:
1. Agar orang Melayu Islam semakin sukar dan melewatkan untuk berkahwin secara sah.
2. Menggalakkan maksiat, maklumlah nak kahwin tak mampu
3. Melatih calon menantu satu latihan yang amat penting iaitu BERHUTANG UNTUK KAHWIN.
4.
Agar anak lelaki lupa tanggung jawab kepada ibu bapanya yang telah
membesarkan dan mendidik untuk sekian lama. Tiba-tiba bila baru dapat
degree nak kahwin, nak beri duit kepada ibu bapa sudah tiada lagi
maklumlah kena menabung untuk membayar kos berkahwin yang gila habis.
Bukan cukup RM15,000.00 untuk kahwin. Itu belum masuk lagi duit ansuran
kereta, sewa rumah dan potongan PTPTN.
5. Agar belajar untuk AMBIL RASUAH DAN AMBIL KOMISYEN di tempat kerja agar memudahkan urusan untuk berkahwin
6. Mendidik anak Melayu dengan budaya BIAR PAPA ASAL BERGAYA
7.
Agar selepas kahwin pasangan ini hidup melarat maklumlah hutang
keliling pinggang. Bolehlah kelak selalu berperang suami isteri bila
dah bengang.
Perkara 7Bagaimana untuk mempastikan hari kenduri kahwin cuaca adalah baik tanpa hujan.
Bila
kos makanan tetamu sahaja sudah mencecah lebih daripada RM15,000.00,
tuan rumah mulalah naik risau kelak kalau waktu majlis kenduri kahwin
hujan ribut dari pagi sampai petang, orang ramai tak datang, macam mana
dengan makanan yang berlebihan dan paling penting tentunya duit
sumbangan pun tak masuk, rugi besarlah. Bagi mempastikan hari kenduri
kahwin tidak mengalami hujan ribut maka:
1. Pergi berurusan dengan bomoh atau dukun yang boleh menahan hujan.
2.
Mengamalkan pelbagai petua orang Melayu seperti membuang pakaian dalam
pengantin ke atas bumbung, meletakkan payung secara terbalik lalu
meletakkan air ke dalam payung terbalik tersebut
3. Berbagai amalan karut marut lain
Mudahnya
orang Melayu untuk sesat. Allah berikan rahmat dengan diberiNya menantu
dibalas pula oleh manusia dengan melakukan pekerjaan syirik. Memanggil
bomoh tolak hujan adalah sesat dan mengamalkan pelbagai petua seperti di
atas juga adalah sesat.
Baru-baru ini saya menghadiri majlis
kenduri kahwin saudara saya. Pada pukul 11.45, semua keluarga, saudara
mara, penanggah dan tuan rumah makan maklumlah tetamu dijangka akan
datang pada pukul 12.00 tgh sebagaimana tertera dalam kada jemputan.
Saya turut makan bersebelahan tuan rumah. Cuaca ketika itu memang terang
benderang. Tuan rumah dalam keseronokan dapat menantu berkata “bagus
betullah petua dari kak chik pakai payung diterbalikkan, cuaca hari ini
cukup cantik”.
Astagfirullah… saya berkata-kata dalam hati. Nak
dihujah, keadaan tidak sesuai. Saya berkata-kata di dalam hati “kalau
macam ini sunnatullahnya tak lama lagi memang hujan nak turun di majlis
ini”. Perbuatan tuan rumah ini bagi kata bidalan diberikan susu dibalas
tuba.
Dengan kuasa Allah, mulai pukul 1.00 tengahari gerimis
halus sudah mula turun. Kira-kira pukul 1.45 tgh hujan lebat turun
sehingga pukul 2.30 ptg. Dalam hati saya berkata “Inilah satu pengajaran
yang sangat baik kepada orang yang mensyirikkan Allah. Percaya benar
payung terbalik ada kuasa untuk mengelakkan hujan turun. Sama sebiji
macam orang kafir berharap kepada patung yang dibuat daripada batu,
Astagfirullah…”.
Secara mudahnya tetapi sukar untuk dilaksanakan
ialah untuk Allah memberikan rahmatNya dengan tidak mengirimkan hujan
pada hari kenduri kahwin ialah dengan pelbanyakkanlah solat sunat
terutama sekali solat malam. Mintalah kepada Allah secara terus, insya
Allah majlis tersebut tidak turun hujan.
Perkara 8Majlis kenduri kahwin adalah majlis untuk berbuat maksiat, Astagfirullah…
Majlis
kenduri kahwin adalah majlis memberi makan kepada orang miskin dan
tetamu lain sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Kalau tak mampu buat
kenduri besar, buatlah sekadar saranan Islam iaitu sekadar sembelih
seekor kambing. Jemputlah orang yang perlu sahaja seperti jiran terdekat
dan saudara mara terdekat. Inilah latihan yang baik dari Islam
sebagaimana majlis aqiqah apabila dapat anak.
Kini dalam majlis kesyukuran majlis kenduri kahwin sudah menjadi pesta maksiat dan antaranya ialah seperti berikut:
1.
Membayar wang yang banyak kepada DJ, PA system, sistem karaoke, kugiran
dan penyanyi. Ini namanya mengeluarkan duit untuk membeli dosa. Sila
baca artikel berkaitan muzik bertajuk Hukum bermain muzik dan nyanyian
menurut Islam di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/40. Membazir
sudah satu dosa. Bermain muzik dan nyanyian apatah lagi nyanyian oleh
orang perempuan adalah juga dosa. Tak takut sungguh manusia dengan dosa.
2.
Bergilir-gilir anak dara belajar buat dosa iaitu menyanyi secara
karaoke. Inilah platform yang amat cantik untuk menjadi penyanyi macam
Siti Nurhaliza, tok guru buat dosa dengan menyanyi.
3. Orang
lelaki pula seronok mendengar nyanyian secara karaoke oleh anak dara.
Redha dengan perbuatan ini adalah dosa dan kelak di akhirat Allah tuang
besi cair ke telinga.
4. Inilah masa bagi anak dara menayang body
dengan pasang badan agar dapat menarik perhatian lelaki dan lebih baik
lagi kalau dapat boyfriend. Mereka pakai pakaian yang ketat, tidak
menutup aurat, bermake up, berminyak wangi dengan lengang lengguk badan
dan punggung untuk mendapatkan perhatian. Astagfirullah….
5. Bagi
wanita yang sudah berkahwin, ada yang menjadikan majlis ini untuk
menunjukkan bahawa badannya masih cantik walaupun sudah ada anak dengan
memakai pakaian pelbagai fesyen yang jauh dari kehendak Islam.
6.
Menjadikan majlis kenduri kahwin sebagai majlis pesta fesyen pakaian.
Ada yang terbelah mendedah peha, ada yang low cut mendedahkan buah dada
yang membulat dan sebagainya.
7. Pesta bagi wanita menunjukkan
kekayaan dengan memakai pelbagai barang kemas yang mahal-mahal untuk
menjadi kayu pengukur kemewahan masing-masing. Allah membenarkan barang
kemas tetapi bukan untuk tontonan semua orang!!!! Ada wanita yang
sanggup meminjam barang kemas untuk hadir ke majlis kenduri kahwin keran
takut dimalukan.
8. Kalau dikampung dimana masak memasak
diadakan secara gotong royong, inilah satu pesta yang amat seronok iaitu
PESTA KATA MENGATA DAN MENGUMPAT terutama sekali dikalangan orang
perempuan, Astagfirullah….
9. Tidak cukup dengan muzik dan
nyanyian, diadakan pula majlis tari menari joget lambak. Yang muda dan
yang tua tak sedar diri berjoget antara lelaki dan wanita,
Astagfirullah….
10. Disetengah tempat, majlis kenduri kahwin
adalah majlis mengajar kanak-kanak lelaki untuk merokok kerana tuan
rumah memang menyediakan banyak rokok secara percuma untuk semua
penanggah. Hisaplah seberapa banyak yang diingini asalkan sanggup
menjadi penanggah.
Saya mengalu-alukan pandangan balas lain dari pembaca agar isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya berlandaskan Islam.
Islam
menyarankan majlis kenduri kahwin tetapi realitinya majlis kenduri
kahwin kini menjadi satu majlis yang mengundang pelbagai dosa,
bagaimanalah Allah nak memberikan rahmatNya kepada pengantin yang baru
berkahwin ini.
Sekian wassalam wallahualam
Saya Copy dr link bawah ni...
http://blogpowergila.blogspot.com/2013/04/perkara-perkara-bertentangan-islam.html#comment-form
Ni Gambar..terbaik dari google image